Sabtu, 21 Januari 2012

Syariat Allah dan Hukum Alam


Bismillah.

Ada satu cerita yang ingin saya sampaikan. Anda diminta menjawab persoalan yang diajukan didalam cerita ini.
Alkisahnya di sebuah kampung ada 2 orang petani yang menanam jagung dan menjualnya bagi mendapatkan wang pendapatan. 2 orang petani itu ialah Pak Haji dan Ah Chong. Kedua-dua petani ini memiliki gaya hidup yang berbeza.


Kebun Pak Haji terletak di tepi masjid. Pak Haji akan bangun awal untuk menunaikan solat subuh. Beliau beriktikaf di masjid hingga dhuha dan akan turun ke kebun pada jam 8 pagi. Pada jam 8 pagi, Pak Haji akan menanam butir jagung. Setiap barisan yang ditanam, Pak Haji akan berhenti dan menunaikan solat sunat 2 rakaat kemudian menyambung kembali kerjanya.
Pada pendapat anda, baik tidak Pak Haji ni? Semestinya kebunnya akan subur dan dia akan mendapat untng.
Kebun Ah Chong pula terletak di hujung kampung di sebelah tanah perkuburan jauh dari orang kampung. Ah Chong akan bangun seawal 6 pagi dan terus menanam jagung. Beliau akan membersihkan kebun dan menyiram tanaman setiap pagi. Apa pula pendapat anda pada Ah Chong.

Tiba pada musimnya, kebun Ah Chong sangat subur dan beliau mendapat keuntungan yang banyak. Kebun Pak Haji juga mendapat keuntungan tetapi tidak sebesar kebun Ah Chong. Apakah ini adil? Pak Haji yang beragama Islam dan sangat taat akan perintah Tuhan dan sering melakukan amalan sunat manakala Ah Chong bukan beragama Islam.

Sebenarnya apa yang kita dapat lihat disini berkait rapat dengan Syari'atullah dan Sunnatullah. Syari'atullah ialah apa yang dibentangkan di dalam Al Quran. Sunnatullah ialah hukum alam.
Dari kisah diatas kita melihat Pak Haji sangat mematuhi Syari'atullah akan tetapi beliau tidak mengikuti sunnatullah. Pak Haji seorang muslim, rajin beribadat dan taat kepada Allah tetapi beliau melanggar hukum alam dimana betih-betih jagung perlu ditanam di awal pagi, perlu disiram dan sebagainya. Lalu adillah keuntungan yang beliau dapat kurang.

Ah Chong pula tidak mematuhi Syari'atullah tetapi dia sangat mematuhi Sunnatullah. Beliau bangun di awal pagi, menanam betih-betih jagung pada waktunya, menjaga tanamannya dan kebunnya. Maka adillah keuntungannya lebih kerana ia mengikut hukum alam.
Akan tetapi, kedua-dua situasi ini tidak lengkap dan tidak akan dapat menghasilkan satu hasil yang terbaik. Seseorang petani itu haruslah menghayati dan memahami serta mempraktikan kedua-dua konsep ini dengan mematuhi kedua-dua Syari'atullah dan Sunnatullah. InshaAllah, ia akan mendatangkan keuntungan yang berganda dan impak yang sangat baik.


-~-~-~-
Dari cerita di atas, kita dapat letakkan situasi kita dan diri kita. Kadangkala kita merasakan ianya sudah cukup bila kita dah solat 5 waktu, mengaji setiap hari, mendirikan solat sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi. Tetapi kita kurang mengulangkaji dan berusaha dalam aspek-aspek yang lain. Kita merasakan apabila sudah mematuhi syari'atullah, Allah akan memberi kita keputusan yang cemerlang dan rezeki yang melimpah.

Kita lupa konsep lagi satu. Sunnatullah. Hukum alam.

'Law of Nature' adalah apa yang selalunya terjadi bila kita melakukan sesuatu. Hukum alamnya apabila orang berusaha, dia akan berjaya. Hukum alamnya apabila pelajar mengulang kaji dan membuat latihan, dia akan cemerlang. Hukum alamnya apabila kita beramah mesra dengan orang ramai, mereka akan menyenangi kehadiran kita.

Akhir kata, sesorang muslim yang sempurna keislamannya bukan hanya dituntut mematuhi syari'at Allah tetapi harus juga mematuhi sunnatullah.
.


Semoga kita akan lebih berusaha mempertingkatkan amalan dan berusaha menggapai kejayaan.

Mohon maaf atas kekurangan dan kekhilafan.

Wallahu'alam.

1 ulasan:

  1. terima kasih banyak2...semoga Allah menambahkan rahmat dan membantumu dengan ilmu yang manusia terlepas pandang..

    BalasPadam