Mungkin agak lambat saya memperkatakan perihal filem 2012 yang membicarakan perihal kehancuran dunia. Memandangkan, filem itu telah lama keluar dan dah lama orang tengok download, malah ada yang menontonnya di youtube.
Dalam sesi ini, saya tidak berminat berkongsi berkenaan 2012 adalah konspirasi freemason, illuminati, pemujaan dengan Dajjal, tarikh perlaksanaan projek freemason dan sebagainya, jauh sekali saya mempercayai bahawa tarikh 21/12/12 itu merupakan tarikh kiamat dunia.
Tetapi, saya hanya suka berkongsi apa yang saya rasa selepas menonton filem itu.
Pada saya, ia satu muhasabah yang sangat baik, andai disertai dengan maklumat yang betul berkenaan hari kiamat yang sebenar.
Tusukan kuat di dalam hati
2012 menceritakan berkenaan kehancuran bumi yang terhasil keraa kejadian aneh yang berlaku pada matahari, sekaligus memberikan kesan kepada bumi. Kedudukan semua planet di dalam Galaksi Bima Sakti yang sejajar, turut memberikan kesan kepada medan magnetik bumi membuatkan platonik-platonik di bahagian dasar bumi bergerak dan tidak tetap. Turut menyebabkan hal ini adalah pendidihan yang berlaku pada air bawah tanah akibat dari radiasi daripada matahari.
Memang ada banyak benda luar akal atau flaw dalam cerita 2012 ini. Tapi saya tak mahu bahaskan hal-hal teknikal di sini.
Cuma, semasa melihat kehancuran yang berlaku, jantung saya berdegup kencang. Melihat bagaimana hebatnya mereka merealitikan ombak menggunung, gunung ganang hancur, gempa bumi yang dasyat, robohan bangunan, letupan gunung berapi besar, keributan masyarakat, huru hara sana sini, dan sebagainya.
Dada saya berdentam dentum dan jiwa saya berkocak.
Hal ini kerana, saya adalah seorang manusia yang mempelajari perihal hari kiamat semenjak tadika lagi. Ada bermacam-macam cerita, dalil, ayat Al-Quran, Hadith berkenaan kiamat yang wujud dalam kepala saya, tertanam dalam minda saya.
Saya masih ingat pada suatu ketika, ketika saya berumu tujuh tahun dan saya berseorangan di dalam bilik, saya terbayangkan hari kiamat yang diceritakan oleh guru saya di tadika. Saya masih ingat betapa saya takut pada ketika itu, hingga saya pergi ke almari baju ayah saya dan saya menangis sambil berkata: “Abah, abah”
Melihat kehancuran yang direka dengan penuh realistik di dalam filem 2012, saya terbayangkan kembali apa yang saya bayangkan pada waktu kecil saya itu. Sesungguhnya, kiamat yang sebenar pastinya berjuta kali ganda lebih dasyat dari apa yang dibayangkan di dalam 2012.
Sangat-sangat menakutkan
Di dalam 2012, mereka membayangkan bahawa satu kumpulan manusia masih lagi boleh berfikir itu dan ini, sempat melakukan lawak ringkas, bersembang, kenal anak pinak dan lain-lain perkara. Itu di dalam filem. Tetapi, ketika melihat situasi yang dihadapi mereka, kepala saya tidak lepas membayangkan apa yang saya terbayang masa kecil.
Tahukah kenapa saya ke almari ayah saya dan berkata: “Abah, abah” sambil menangis?
Sebab masa itu saya teringat ayat Al-Quran yang bermaksud:
“Kemudian(ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datangnya suara jeritan yang dasyat. Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, dan(berlari dari) ibu serta bapanya, dan(berlari dari) isteri serta anak-anaknya. Kerana setiap seorag dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja” Surah ‘Abasa ayat 33-37.
Saya tergambarkan saya berlari keseorangan, tidak dikisahkan, mahupun hendak mengisahkan orang lain, di tengah-tengah kehancuran dunia. Yang digambarkan kehancuranya di dalam Al-Quran seperti berikut:
“Apabila matahari dilingkari cahayanya(dan hilang lenyap). Dan apabila bintang-bintang bergugur dan berselerak. Dan apabila gunung ganang diterbangkan ke angkasa(setelah dihancurkan menjadi debu). Dan apabila unta-unta bunting dibiarkan. Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan. Dan apabila lautan meluap-luap bercampur baur” Surah At-Takwir ayat 1-6.
Dada saya jadi sempit membayangkan saya berada di tengah-tengah saat yang dasyat itu.
Kalau di dalam 2012 mereka menyatakan bahawa mereka masih sempat menaiki kapal terbang, mereka masih selamat di dalam kapal yang sangat besar, masih ada tanah untuk mendarat, masih ada oksigen untuk dihirup, masih ada matahari untuk dilihat, tetapi saya yang telah dididik berkenaan kiamat terbayang-bayang hari yang menakutkan itu dengan gambaran daripada Pencipta Kiamat itu sendiri, yakni Allah SWT:
“Iaitu pada masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke padang mahsyar). Dan(pada masa itu) langit dipecah belahkan hingga setiap belahanya menadi seperti pintu yang terbuka luas. Dan gunung-ganang setelah dihancurkan diterbangkan ke angkasa lalu menjadilah ia bagai bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.” Surah An-Naba’ ayat 18-20.
“Kemudian(ketahuilah bahawa) apabila ditiup sangkakala dengan sekali tiup. Dan umi serta gunung-ganang diangkat(dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya degan sekali hancur. Maka pada saat itu berlakulah kiamat” ayat 13-15 Surah Al-Haqqah.
“Dia(orang kafir) bertanya(secara mengejek): “Bilakah datangnya hari kiamat itu?”. Maka(jaabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi berpinar-pinar( kerana gerun dan takut). Dan bulan pula hingga hilang cahayanya. Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama. (Maka) pada hari itu berkatalah manusia(yang mengingkari hari kiamat): “Ke manakah hendakk melarikan diri?”. Tak usah ditanyakan demikian! Tiadalah lagi tempat perlindungan! Pada hari itu kepada Tuhanmu sahajalah tempat berserah segala perkara” Surah Al-Qiyamah ayat 6-12.
“Apabila berlaku hari kiamat itu. Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya( menyilapinya dengan bencana alam, atau mengingkari yang sedang berlaku itu adalah hari kiamat). Kejadian hari kiamat itu merendahkan( golongan ingkar) dan meninggikan( golongan yang taat). (ia berlaku) semasa bumi bergoncangan dengan sebenar-benar goncangan. Dan gunung ganang dihancur leburkan sehancur leburnya. Lalu menjadilah ia debu-debu yang berteberbangan.” Surah Al-Waqiah ayat 1-6.
Allahuakbar…. Allahuakbar… Allahuakbar.
Sangat-sangat menakutkan.
Jangan cerita pada hari itu hendak melarikan diri. Jangan bising fasal hendak menyelamatkan harta yang dikumpul selama ini. Jangan terfikir perihal anak dan isteri.
Hari itu hari diri sendiri.
Tidak akan terfikir sesiapa.
Kerana kerosakan yang berlaku adalah di luar pemikiran imiginasi manusiawi.
Bila kiamat?
Saya tidak pernah percaya 2012 adalah tarikh kiamat. Artikel ini sekadar mengajak diri kita bermuhasabah membayangkannya dengan bantuan imiginasi manusia yang direalitikan dalam bentuk filem. Saya fikir, filem 2012 amat baik untuk membantu kita menggetarkan jiwa dengan bantuan ayat-ayat Al-Quran tadi.
Hal ini kerana, kalau seseorang manusia itu mampu mengimiginasikan sedasyat itu, maka kita yang beriman dengan kedasyatan hari kiamat ini meyakini bahawa apa yang akan berlaku nanti lebih dasyat dari apa yang mampu diimiginasikan. Itu yang membuatkan dada saya berdegup kencang dan ketakutan. Ketahuilah, saya tidak tidur malam selepas menonton 2012. Bukan kerana apa yang ada di dalam filem 2012. Tetapi kerana apa yang saya bayangkan apabila melihatnya.
Kalau benar kiamat adalah sedasyat, atau lebih kurang dasyat dengan apa yang digambarkan di dalam filem 2012, maka saya pastinya tidak akan menulis artikel ini pada anda kerana saya telah pun mati ketika menonton filem ini. Hal ini kerana, barangsiapa yang menyaksikan kedasyatan kiamat yang sebenar nanti, anak di dalam kandungan pun gugur, akal terus tidak ingat sesiapa, malah akan berkeadaan seperti mabuk walapun tidak mabuk hakikatnya.
Allah SWT berfirman:
“Wahai manusia, bertaqwalah kamu kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa pada hari kiamat nanti adalah sesuatu yang sangat-sangat besar. Pada hari itu kamu akan melihat setiap ibu yang menyusukan anak akan melupakan apa yang disusukan, dan setiap perempuan yang mengandung akan tergugur anak yang dikandungnya. Dan engkau akan melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk(minum arak) tetapi(mereka kelihatan seperti mabuk) kerana azab Allah itu amatlah dasyat lagi mengerikan” Surah Al-Hajj ayat 1-2.
Saya quoute: “Amatlah dasyat lagi mengerikan”
Bukanlah di dalam tugasan kita mencari tarikh kiamat, meramalkannya, dan meneka-neka tarikhnya bila. Tugas kita adalah mempersiapkan diri untuk berhadapa dengannya.
Apakah persediaan kita?
Penutup: Kita nampak jauh, tetapi hakikatnya….
Saya tidak mengajak anda percaya 2012 itu tahun terakhir usia dunia. Malah saya melarang sama sekali anda mempercayainya. Cuma saya sarankan anda menonton filemnya dan bayang-bayangkan ayat Al-Quran yang saya nukilkan di dalam post ini.
Pasti, anda akan rasa hendak termuntah, menangis, gerun, menyesal, takut, sebagaimana yang saya rasa apabila saya menulis artikel ini untuk anda.
Kalau anda rasa apa saya rasa, bangunlah ketika itu juga dan berwudhu’, solat taubat dan menangislah sepuas-puasnya. Ini peluang anda. Momentum kebangkitan. Menangislah sepuas-puasnya. Memohonlah sepuas-puasnya. Kegetaran hati anda apabila mengingati kebesaran Allah ini, adalah tanda keimanan anda pada Allah SWT masih hidup dan punya interaksi.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, bergementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada merekka ayat-ayat-Nya, bertambahlah keimanan mereka dan kepada Rabb mereka jugalah mereka menyerah” Surah Al-Anfal ayat 2.
Walaupun saya tak benarkan anda percaya 2012 adalah kiamat, tetapi ini tidak bermakna saya menyatakan bahawa kiamat itu jauh lagi. Saya tidak benarkan percaya 2012 adalah kiamat memandangkan itu adalah ramalan dunia.
Kita jangan rasa kiamat itu jauh, masa bertaubat masih panjang dan sebagainya.
Ketahuilah, di sisi Allah semua itu adalah hampir dan dekat.
“Sebenarnya mereka(orang- orang kufur) memandang azab itu jauh(dari tarikh berlakunya). Sedang Kami memandangnya amat dekat. Pada hari langit menjadi seperti tembaga cair, dan gunung ganang menjadi seperti bulu yang berterbangan, dan sahabat karib tidak lagi bertanyakan hal sahabat karibnya(kerana setiap orang sibuk memikirkan keadaan dirinya sendiri)” Surah Al-Ma’arij ayat 6-10.
Maka hargailah pagi ini, tengahari ini, petang ini, malam ini, masa-masa anda sedang membaca artikel ini. Sahutlah seruan Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu dengan taubat nasuha…” Surah At-Tahrim ayat 8.
Semoga Allah selamatkan kita pada hari itu.
Hari yang tiada guna harta dan anak pinak. Melainkan yang datang kepada Allah SWT dalam keadaan hati yang sejahtera, penuh keimanan dan ketaqwaan.
Allahu Ya Salam, sallimna ya Rabb.
Allahumma inna nasaluka ridhaaka wal jannah, wa na’uzubika min sakhatika wan naar. Allahumma innaka ‘afuwwun karim, tuhibbul ‘afwa fa’u’anna ya karim. Allhumma salimna fil yauma la yanfa’u maalu wala banuun, illa man atallaha bi qalbin salim.
Allahu ya Salam, sallimna ya Rabb.
Wahai pembaca semua, katakanlah amin.
Semoga muhasabah ini menghidupkan hati-hati kita, dan menjadikan kita bersungguh mengjear redha-Nya.