Rabu, 2 Disember 2009

sebuah rumah dikaki rimba

Dalam perjalanan seterusnya cikgu Basri membawa kami ke sebuah rumah usang
yang terletak nun jauh di
pinggir rimba. Rumah yang terletak di penghujung kampong Batu 7 di sempadan
Kedah/Perak antara Mahang
Kedah dan Bertam Perak ini dihuni oleh adik Nursyuhada 15 dan adiknya
Syahidah 13 beserta ayahnya Pakcik
Usin 46 tahun.

Ketika mengekori motor cikgu Basri mencari arah ke rumah Pakcik Usin ini,
jenuh juga kami terpaksa
berhenti sana sini. Sebabnya ialah kerana cikgu Basri sendiri tak berapa
pasti jalan ke situ. Bila cikgu
Basri bertanyakan di mana rumah adik Nursyuhada kepada seorang anak muridnya
di kampong itu, budak tu cakap:

"Rumah dia...nuuuu...dok jauh dalam hutan nu cikgu!!"

Kata Sabki pula sambil melawak:

"Tu dia aih, dah la Mahang ini pun depa kata Ulu dah..... Ini duduk di dalam
hutan pulak di Ulu
Mahang....lagi la jenuh!"

Rupa-rupanya apa yang dimelawakkan oleh Sabki itu bukan lawak, memang
sungguh pun. Cuba tengok gambar
yang disertakan ini; oleh kerana kereta tak boleh masuk, kami terpaksa
menapak berjalan kaki meredah
denai, jalan dusun dan hutan getah menuju ke sana. Saya tak pasti berapa
jauhnya rumah tersebut dari
jalan besar, tapi cukup jauh hinggakan anak-anak Wahab yang 2 orang tu
(dalam gambar di tepi perigi) mengeluh
tanya awat la jauh sangat. Nasib baik cikgu Basri bawa motor, tak payahlah
dua orang anak Wahab tu jalan kaki
ke sana.

Sesekali meredah pinggir hutan memang menyeronokkan. Bila mendengar bunyi
riang-riang dan cengkerik rimba
berlawan irama, rasa satu macam ketenangan bermain di jiwa. Lupa sebentar
suasana riuh dan sibuknya tempat
kerja.

Namun, bagi mereka yang tak biasa dengan suasana denai hutan macam tu
mungkin agak gabrah juga; misalnya
waktu tengah dok meredah lorong kecil antara celah-celah hutan getah dan
kawasan dusun, ketika
seorang sahabat dok cerita pasal bekas-bekas kesan tapak kaki babi yang
ditemui, tiba-tiba
ZASSSS!!!!.....sdra Rashid tiba-tiba macam terperanjat nak angkat cabut
lari. Saya pun tumpang terkejut, dok
ingatkan sang Babi, rupa-rupanya sekoq lembu secara tiba-tiba meluru keluar
daripada celah-celah semak
hutan tu betul-betul di hadapan kami. Terkejut beruk kami!

Jauh juga perjalanan ke rumah pakcik Usin tu, peluh la jugak. On the way,
kami ternampak satu bangsal kecik
mungkin tempat org tunggu durian atau tempat rehat; kami singgah sekejap
melepas penat di situ. Jalan
punya jalan, ikut kebun dan jalan hutan, last-last kami sampai juga ke rumah
pakcik Usin. Beliau tak ada
di rumah, yg ada cuma anaknya adik Nursyuhada 15 tahun dan 2 org teman
sepermainannya dari kampong yg sama.

Terkejut juga adik Nursyuhada ini bila melihat rumah ayahnya yg
jarang-jarang menerima tetamu tiba-tiba
entah sapa-sapa yang datang; dah la muda-muda belaka, ramai pula tu. Nasib
baik ada cikgu Basri menerangkan
tujuan kami datang.

Rumah ayah Nursyuhada ini nak kata rumah pun, boleh lah kata rumah; tapi
bagi sesetengah orang mungkin
lebih kurang macam bangsal saja. Bangsal ka apa ka, di rumah inilah pakcik
Usin membesarkan Nursyuhada dan
adiknya Syahidah sejak 15 tahun yang silam, seorang diri tanpa seorang
isteri di sisi.

Bila ditanya adik Nursyuhada mana ibunya; macam segan saja dia nak cerita.
Ibu dan ayahnya sudah lama
berpisah seusia beliau masih belum darjah satu lagi. Tinggallah beliau dua
beradik dengan ayahnya di situ
sementara adik bongsunya yang kini dalam darjah 5 mengikut ibunya.

Ketika kami di sana, ayahnya tiada di rumah kerana tidak seperti majority
kita yang dianugerahkan cuti
sempena hari Merdeka; pakcik Usin terpaksa bertugas meneruskan kerja
hariannya menjual pucuk paku di
pekan-pekan berhampiran.

Menurut Nursyuhada, ayahnya cuma ada di rumah selang sehari; iaitu sehari
mengutip pucuk paku dan sehari
lagi ke pekan menjualnya.

Kadang-kadang bila kelapangan adik Nursyuhada turut sama-sama membantu
ayahnya mengutip pucuk-pucuk paku
yang kami lihat banyak kedapatan di kawasan berpaya berhampiran, dan antara
rutin beliau bila pulang dari
sekolah ialah membantu ayahnya mengikat pucuk-pucuk paku mengikut timbangan
yang tertentu.

Sekali fikir tentu tekanan hidup yang cuma berayah tanpa ibu di sisi dan
terpaksa pula membantu ayah
mencari rezeki dalam usia yang masih mentah tentunya mengganggu konsentrasi
pelajaran anak-anak ini. Tapi,
kami agak terperanjat bila diberitahu yang Nursyuhada ting 3 dan adiknya
Syahida ting 1 itu masing-masing
mendapat no 3 dan no 5 dalam Peperiksaan yang lalu.

Kira hebat sungguh la anak-anak pakcik Usin ini.

Lagi satu, kami naik kagum dan respect dengan keberanian dan kecekalan hati
anak gadis dua orang
ini. Bayangkanlah tiap-tiap pagi kayuh basikal sejauh 4 batu tunggu bas
untuk ke sekolah, meredah jalan
hutan di pagi buta dalam suasana subuh kelam yang mungkin masih gelap
gelita. Kalau calang-calang orang
tak berani punya!

Tabah sungguh nampaknya anak-anak pakcik Usin ini berhadapan dengan realiti
hidup; dan tentu tabah lagi
ayah mereka yang membesarkan anak-anak tanpa seorang insan bergelar isteri
di sisi, tanpa seorang ibu
tempat anak-anak mengadu, nun jauh di kaki rimba hanya berbekalkan
pucuk-pucuk paku dan hasil hutan sebagai
sumber pendapatan. Beliaulah ayah beliaulah ibu untuk anak-anak tersayang.

Kami tak pasti berapa banyak pendapatan bulanan pakcik usin hasil jualan
pucuk paku itu, tapi rasanya
cukup-cukup makan saja; nak beli benda-benda lain terutamanya belanja
persekolahan anak-anaknya itu
mungkin kurang berkemampuan.

Bila menjenguk ke dalam rumah, kami dapat rasa anak-anak pakcik Usin memang
paham dan cukup paham
dengan ketidakmampuan ayah mereka ini. Lihatlah tulisan tangan anak-anak
pakcik Usin ini di dinding rumahnya:

Nota Untuk Ayah:

"Cikgu Minta Duit Hari Kantin. Cikgu Minta Duit Yuran (RM20). Bayar Lambat
Tak Apa!!"

Tiada kata-kata yang mampu kami gambarkan tatkala menatap tulisan itu,
seribu satu keharuan menerpa di
lubuk dada. Mungkin itu sudah ketentuan nasib dan rezeki anak-anak pakcik
Usin dan Pakcik Usin sendiri
untuk menerima ujian hidup yang sedemikian. Moga mereka bertiga akan tabah
menempuh hari-hari yang
mendatang.

Sebelum pulang, sempat kami tinggalkan pesan kepada adik Nursyuhada untuk
terus keep it up dengan keputusan
cemerlang dalam pelajarannya, moga suatu hari nanti beliau akan mampu jua
melangkah keluar daripada
kemelut hidup yang sedang dihadapinya. Sebelum itu sempat kami hulurkan
barang-barang keperluan harian
sebungkus dua beserta duit sumbangan peribadi dua tiga kupang. Dalam hati
kami harap duit sekupang dua itu
boleh lah kot beliau belikan buku-buku rujukan untuk periksa PMR akan
datang.

Dalam perjalanan pulang sempat saya tanyakan kawan-kawan yang lain apa lagi
yang mereka nampak yang
saya tak lihat. Kata Rashid atau Wahab, "Kesian depa, tandas pun pakai tibai
atas batang Nyior Nan
Sebatang!!"

Tak banyak yang kami bualkan dalam perjalanan pulang meredah jalan hutan
yang kami lalui tadi; mungkin
masing-masing jadi agak terpana kerana tak sangka di celah-celah keriuhan
mat-mat motor mengibar Jalur
Gemilang sepanjang perjalanan kami ke Mahang pagi tadi, rupa-rupanya nun
jauh di kaki rimba di ulu
mahang sana nuu masih ada lagi anak-anak bangsa yang hidupnya sebijik macam
kata pepatah Melayu lama:

"Kais Pagi Makan Pagi Kais Petang Makan Petang".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan